Search This Blog

Tuesday, May 10, 2016

Empat Termasuk Tiga Warga Indonesia Maut Nahas Di Jalan Gua Musang-Kuala Krai


Diterbitkan: Selasa, 10 Mei 2016 3:44 PM

GUA MUSANG: Empat lelaki terbunuh selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta lain yang terbabas akibat melanggar seekor lembu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superitendan Saiful Bahri Abdullah berkata, dalam kejadian di Km10 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, 7.30 malam Isnin, empat mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
"Mereka yang terbunuh, pemandu kereta, Ibrahim Mohd Beridin, 52, berasal dari Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang dan tiga penumpang warga Indonesia yang berasal dari Lombok, Indonesia," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Tiga penumpang kereta terbabit dikenali sebagai Supandi, 21, Ahmad Haikal, 31, dan Safriyadi, 28 tahun.
Manakala seorang lagi penumpang kereta Proton Iswara itu, Saaban Mustakin, 54, berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.
Sementara itu pemandu kereta Toyota Camry, Jayapalan Balaraman, 58, dan isterinya, Nageswary Nagamuthu, 52, hanya cedera ringan.
"Kereta yang dipandu Jayapalan dari Gua Musang menghala ke Kota Baru, telah melanggar seekor lembu sebelum terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta Proton Iswara yang datang dari arah bertentangan," katanya.
Beliau berkata jenazah Ibrahim telah dituntut keluarganya pukul 8 pagi tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuran Islam Kampung Kuala Tembeling, Jerantut.
"Manakala tiga mayat warga Indonesia yang ditempatkan di bilik Mayat Hospital Gua Musang itu akan dirujuk kepada Kedutaan Indonesia untuk tindakan lanjut," katanya.--Bernama

No comments:

Post a Comment