DUA anggota polis berpangkat sarjan direman enam hari dipercayai menerima suapan bernilai RM200 daripada orang awam di Mahkamah Majistret Tanah Merah, Kelantan, semalam. MINGGUAN/SPRM
Kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 29 tahun itu ditahan di sekitar bandar ini, pukul 11.55 malam selepas penguat kuasa SPRM menerima laporan kes tersebut daripada orang awam.
Menurut kenyataan SPRM Putrajaya, kedua-dua suspek dipercayai menerima suapan bernilai RM200 bagi melepaskan orang awam yang tidak memiliki kad pengenalan.
“Mereka berdua ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, kedua-dua suspek dibawa dari Kompleks SPRM Kelantan, di sini ke Mahkamah Majistret Tanah Merah bagi mendapatkan perintah reman kira-kira pukul 10 pagi.
Kedua-dua mereka yang memakai baju tahanan berwarna oren tiba di kompleks mahkamah tersebut pada pukul 10.30 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Majistret Mohd. Firdaus Zainal Abidin membenarkan kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.