SELAYANG - Dua penyamun maut manakala seorang lagi cedera apabila terbabit dalam kemalangan kurang 10 minit selepas mereka menyamun sebuah stesen minyak di Taman Templer, di sini.
Sumber berkata, dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, kereta dinaiki kesemua suspek terbabas di Kilometer 15, Jalan Kuching menghala Kuala Lumpur berhampiran Taman Prima Selayang, di sini.
Menurutnya, identiti suspek dikenal pasti mangsa sewaktu pengecaman oleh mangsa melalui gambar pada kad pengenalan suspek.
“Suspek berusia 20-an dan 30-an itu memakai topi, menyamun menggunakan parang serta menaiki kereta Naza Citra dipercayai kenderaan curi.
“Pemandu yang maut di lokasi kejadian dikesan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan baru keluar penjara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan kejadian itu.
“Pemandu berusia 34 tahun mati di lokasi kejadian selepas tercampak keluar kira-kira sepuluh meter.
“Seorang lagi suspek mati di hospital dan tiada dokumen diri. Suspek ketiga berusia 25 tahun cedera dan masih dirawat di Hospital Selayang," katanya.