Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, ini berdasarkan tangkal yang ditemukan pada mayat salah seorang suspek.
“Penggunaan ilmu hitam tersebut dipercayai telah menyebabkan penghuni rumah tidak menyedari langsung bahawa kediaman mereka dipecah masuk.
“Kita percaya berkemungkinan mereka menggunakan modus ope­randi sama terhadap lapan kes jenayah pecah rumah di sekitar Sepang dan 14 kejadian di daerah lain sejak tahun lalu sehingga awal Mei ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Abdul Aziz membe­ritahu, dua suspek terbabit ditembak mati setelah pihaknya mengesan mereka dan seorang lagi rakan jenayah cuba menceroboh rumah teres itu pada pukul 4 pagi.
Dalam kejadian itu ujarnya, 10 anggota polis yang terdiri daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang segera menyerbu rumah berkenaan menyebabkan ketiga-tiga suspek melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.
“Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tiga suspek berkenaan untuk mempertahankan diri selepas salah seorang daripada penjenayah terbabit melepaskan tembakan.
“Dua suspek disahkan mati di lokasi kejadian manakala seorang lagi melarikan diri. Kita masih memburu suspek yang lolos,” katanya.
Sementara itu, penghuni kediaman tersebut, Abdul Jalil Zulkifli, 42, ketika ditemui berkata, beliau hanya menyedari rumahnya di­ceroboh setelah dikejutkan oleh pihak polis yang memaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurut guru Sekolah Kebangsaan Sungai Melut, Kota Warisan itu, dia dan keluarganya tidak mendengar sebarang bunyi berbalas tembakan antara polis dan penjenayah kerana tidur lena.
“Alhamdulillah, dengan kecekapan polis mengesan penjenayah tersebut, kami sekeluarga terselamat daripada kejadian rompakan ini,” katanya.