Search This Blog

Friday, May 20, 2016

Dua kampung di Sri Lanka lenyap






PENDUDUK kampung meredah lumpur selepas tanah runtuh di daerah Kegalle semalam. - AGENSI

COLOMBO – Lebih 150 orang dikhuatiri mati tertimbus dalam dua kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat lebih tiga hari melanda tengah Sri Lanka, kata beberapa pegawai pengurusan bencana semalam.

Angka rasmi terbaharu menunjukkan hujan lebat di Sri Lanka memaksa lebih 196,000 orang berpindah, manakala 19 mayat sudah ditemui di seluruh negara Asia Selatan itu, menjadikan jumlah kematian setakat ini meningkat kepada 35 orang.

Beberapa pegawai berkata, lebih 350 orang diselamatkan dalam operasi menyelamat di kawasan-kawasan terjejas tanah runtuh di seluruh Sri Lanka semalam.

Usaha menyelamat, kata mereka, kini tertumpu di bandar Aranayaka, sekitar 100 kilometer ke timur laut Colombo di mana tiga buah kampung tertimbus di daerah Kegalle, tengah negara itu kelmarin.

Bercakap selepas menghadiri mesyuarat pengurusan bencana di Aranayaka, Ketua Pengarah Persatuan Palang Merah Sri Lanka, Neville Nanayakkara berkata, jumlah korban sebenar dikhuatiri lebih tinggi daripada angka rasmi kerajaan.

“Pada mesyuarat ini, kami diberitahu terdapat antara 300 hingga 400 orang dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh di Aranayaka,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 150 orang telah diselamatkan di kawasan Aranayaka, manakala nasib 150 mangsa lagi tidak dapat dipastikan.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 16 penduduk tertimbus dalam kejadian tanah runtuh lain di Bulathkopitiya, juga di daerah Kegalle.

Jurucakap tentera, Jayanath Jayaweera pula memberitahu, askar-askar telah menemui 13 mayat di lokasi tanah runtuh di Aranayaka dan tiga dari Bulathkopitiya.

“Seramai 150 orang yang diselamatkan di Aranayaka telah dihantar ke enam kem perlindungan sementara yang didirikan untuk mangsa bencana di kawasan ini,” katanya. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz499IAXOJk
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment