SEBAHAGIAN wang tunai berjumlah RM2.4 juta yang dirampas daripada dua ahli perniagaan di Kilometer 24, Jalan Ulu Pauh-Padang Besar, kelmarin.
Kesemua wang tunai yang terdiri daripada 48,000 keping not RM50 itu ditemukan disimpan di dalam dua buah kotak di bahagian belakang SUV jenis Audi Q7 itu.
Ketika ditahan sepasukan anggota Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem) pada pukul 6.30 petang, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 54 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Chuping dekat sini.
Turut dirampas kenderaan tersebut bernilai RM400,000 serta dua buah telefon bimbit.
Berdasarkan hasil soal siasat terhadap kedua-dua lelaki yang berasal dari Padang Besar itu, wang berkenaan dikatakan hendak dibawa ke Pulau Pinang.
Mereka bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan wang itu.
Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram 2001 dan Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
Sementara itu, sumber memberitahu, kedua-dua ahli perniagaan terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan mengurup wang tunai secara haram di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam perniagaan haram lain di Padang Besar, Thailand.