KUALA ROMPIN - Seorang ibu bersama anaknya maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori treler di Kilometer (KM) 133 Jalan Kuantan - Johor Bahru berhampiran simpang Kampung Bahagia sekitar jam 10.45 malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Zalina Mohd Shah, 34, dan anak perempuannya, Siti Nur Aisyah Mohd Shafie, 3, yang berasal dari Kampung Bahagia.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, siasatan awal mendapati treler dari arah Kuantan menuju ke Johor Bahru manakala dua beranak berkenaan keluar dari Simpang Kampung Bahagia menghala ke Bandar Rompin.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila kereta berkenaan secara melulu keluar simpang lalu melanggar treler pada bahagian tepi sebelah kanan lalu terperosok masuk ke bahagian bawah.
"Kereta berkenaan kemudiannya diseret sejauh kurang lebih 50 meter dan kedua beranak maut di tempat kejadian," katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.