BOTA - Seorang warga emas kerugian RM20,000 apabila mendakwa dipukau seorang lelaki dalam kejadian pagi kelmarin.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Pak Din, 76, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja selesai mengutip duit khairat kematian di pekan Bota Kanan.
“Saya baru keluar dari sebuah kedai milik seorang ahli khairat kematian dan ketika itu saya ditegur seorang lelaki berumur lingkungan umur 60-an yang mahu bertanyakan lokasi kedai milik Haji Husain.
“Lalu saya mengatakan di sini hanya ada sebuah kedai perabot yang bernama Husain dan lelaki itu mengatakan bukan kedai berkenaan tetapi dia mencari kedai menjual biji benih.
“Sambil bercakap-cakap kami bersalaman dan selepas itu dia mengatakan wajah saya mirip lelaki yang dia mimpikan malam tadi,” katanya.
Menurutnya, selepas itu lelaki berkenaan menunjukkan sebiji batu delima berwarna merah dan mengatakan harga delima itu RM80,000.
“Lelaki itu juga berkata, saya layak untuk memiliki delima berkenaan berdasarkan kepada mimpi yang dialaminya malam tadi.
“Ketika itu, juga dia bersalaman beberapa kali dengan saya dan saya terus bersetuju untuk membeli delima berkenaan, namun hanya mampu membayar sedikit daripada harga ditetapkan iaitu RM20,000.
“Pada masa sama, datang seorang lagi lelaki berusia lingkungan 30-an menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord juga mahu membeli delima itu dengan harga RM100,000,” katanya.
Pak Din berkata, dia segera pulang ke rumah untuk mengambil buku bank bagi mengeluarkan duit yang ada kerana sudah terpikat dengan batu delima yang ditunjukkan.
“Saya sendiri pun tidak tahu mengapa saya rasa begitu mahukan batu delima berkenaan dan sanggup mengeluarkan wang sebanyak RM20,000 iaitu RM10,000 dari simpanan di Tabung Haji dan RM10,000 lagi dari simpanan bank yang lain semata-mata mahukan batu itu.
“Kedua-dua lelaki berkenaan turut mengekori saya ketika mengambil wang di bank termasuklah menghantar saya ke sebuah bank tetapi mereka tidak masuk ke dalam bank berkenaan.
“Ketika mereka membawa saya terdapat seorang lagi lelaki yang menjadi pemandu kereta Honda Accord berkenaan,” katanya.
Selepas itu, Pak Din berkata, dia ditinggalkan setelah wang itu diberikan kepada lelaki berkenaan kerana masing-masing mengatakan mereka ada kerja lain.
“Saya diberikan wang sebanyak RM50 untuk dibuat tambang teksi dan lelaki berusia 30-an berkenaan berjanji akan datang semula berjumpa saya untuk membeli delima itu dengan harga RM140,000.
"Selepas itu, saya pulang ke rumah dan selepas menunaikan solat Asar di masjid berdekatan, saya tersedar bahawa itu satu penipuan.
“Hasil perbincangan dengan anak-anak saya membuat laporan di balai polis Bota untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim berkata, penduduk harus lebih berhati-hati apabila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali.
“Jangan terlalu mesra kerana kita tidak tahu niat sebenar individu atau pihak berkenaan memandangkan kita tidak mengenali mereka.
“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga diingatkan supaya mengenal pasti mereka yang tidak dikenali atau mencurigakan apabila mereka datang ke kawasan kampung.
“Begitu juga dengan pihak bank, jika boleh mereka harus menyiasat terlebih dahulu jika ada warga emas yang mahu mengeluarkan duit dalam jumlah banyak tetapi tidak tahu tujuannya atau kelihatan mencurigakan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Aziz Hasan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.