SHAH ALAM - Gara-gara gagal menyimpan dan menyelenggara  resit harga bagi sepinggan nasi lemak, seorang pemilik restoran di Subang Jaya didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Pemilik Restoran Silva's Curry House, T. Gopinath, mengaku bersalah atas  pertuduhan gagal menyimpan dan menyelenggara rekod perniagaan melibatkan resit penjualan sepinggan nasi lemak ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Hakim Ahmad Azhari turut memerintahkan Gopinath,36, menjalani hukuman penjara 14 hari sekiranya gagal bayar denda berkenaan. Dia membayar denda itu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di restoran berkenaan yang terletak di No 121, Jalan SS15/5A, Subang Jaya pada pada 29 Jun 2015.
Dia dituduh mengikut Seksyen 53A Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 57(b) akta sama, yang memperuntuk denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dari Shah Alam membuat pemeriksaan di restoran itu susulan aduan berhubung harga nasi lemak yang dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 pada Februari 2015.
Hasil siasatan mendapati pihak restoran gagal mengemukakan resit penjualan sepinggan nasi lemak biasa pada Januari 2015 apabila diminta oleh pegawai terlibat bagi membuat semakan perbandingan harga.
Dalam rayuannya bagi mengurangkan hukuman, Gopinath yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan pendapatan perniagaannya adalah hanya sekitar RM5,000 sebulan.
Selain itu, ia adalah kesalahan pertamanya sejak menjalankan perniagaan restoran itu 13 tahun lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A. Kathiyayini. - Bernama