Search This Blog

Loading...

Friday, May 6, 2016

Alberta isytihar darurat bencana



SEJUMLAH kediaman musnah dijilat api di Fort McMurray kelmarin. - AGENSI


ALBERTA, Kanada – Darurat diisytiharkan di wilayah Alberta, Kanada selepas satu kebakaran hutan yang besar memaksa kesemua 88,000 penduduk di Fort McMurray berpindah untuk menyelamatkan diri.
Para pegawai memberi amaran situasi kini genting ekoran api marak dengan pantas dan boleh memusnahkan sebahagian besar bandar itu, manakala tempoh 24 jam akan datang adalah getir.
Kebakaran hutan itu yang bermula Ahad lalu, sehingga kini memusnahkan 1,600 binaan termasuk sebuah sekolah baharu di Fort McMurray.
Proses pemindahan penduduk bandar itu merupakan yang terbesar dalam sejarah Alberta. Malah, syarikat-syarikat minyak berdekatan terpaksa membuat keputusan mengurangkan pengeluaran komoditi itu.
Beberapa buah firma minyak di Alberta menutup sebahagian saluran paip minyak bagi memindahkan sebahagian pekerjanya. Setakat ini, tiada sebarang kecede­raan dilaporkan akibat bencana itu.
“Api marak sangat cepat. Rumah-rumah hangus dijilat api dalam tempoh yang singkat. Kebakaran ini memusnahkan seluruh komuniti di sini,” kata seorang penduduk tempatan yang juga bekas pemain hoki ais profesional, Doug Sulliman.
Sementara itu, Pegawai Kementerian Pertanian dan Perhutanan Alberta, Bernie Schmitte berkata kelmarin bahawa kebakaran besar itu tidak lagi mampu untuk dihalang.
Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Eksekutif Agensi Pengurusan Bencana Alberta, Scott Long.
“Berita buruk ini akan bertambah buruk. Kita mungkin kehilangan sebahagian besar bandar ini,” katanya.
Imej satelit yang disiar­kan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan pula menunjukkan lebih 10,000 hektar kawasan hutan terbakar dalam bencana tersebut.
Sehingga kini, lebih 100 anggota bomba bertungkus-lumus untuk memadamkan api yang merebak dengan pantas disebabkan angin kuat dan cuaca panas. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz47pJesgyS 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment