Search This Blog

Loading...

Thursday, May 12, 2016

Ajal terperangkap pasir jerlus

Pasir Mas: Hasrat empat orang sahabat untuk memancing bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas di sungai dekat Kampung Pulau Kucing, To'Uban, di sini, kira-kira 4 petang tadi.
Mangsa, Muhammad Amirul Mohd Shamsuddin, 17, bersama tiga lagi rakannya ke kawasan berkenaan untuk memancing, sebelum mangsa turun ke sungai untuk mandi.
Difahamkan, mangsa sudah hampir lemas ketika mandi untuk kali pertama, namun sempat diselamatkan rakannya.
Bagaimanapun, cubaannya mandi buat kali kedua membawa musibah apabila dia dipercayai terperangkap dalam pasir jerlus dan hilang daripada pandangan rakan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.04 petang.
"Kami tiba di tempat kejadian 6.10 petang. Mayat mangsa ditemui dengan bantuan penduduk kampung pada 6.16 petang.
"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa berjalan sejauh satu kilometer untuk ke tempat kejadian disebabkan laluan yang sempit menyukarkan jentera melaluinya.
Katanya, 13 anggota mengikuti operasi itu termasuk enam anggota Pasukan Penyelamat di Air dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 11:57 PM


MANGSA ditemui dengan bantuan penduduk kampung. FOTO ihsan Bomba

No comments:

Post a Comment