KOTA BHARU - Seorang lelaki dipercayai anggota sindiket penipuan jual beli tanah mengaku tidak salah di mahkamah sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan menipu seorang wanita membabitkan kerugian RM9,900.
Tertuduh, Rapli Chulo, 64, dari Kluang, Johor didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Baharuddin.
Dalam dakwaan itu, tertuduh bersama dua lelaki yang masih bebas didakwa mendorong dan memperdaya Hani Omar, 50, untuk menyerahkan wang sebanyak RM9,900 dengan menjanjikan pulangan sewaan tanah yang menguntungkan.
Penipuan itu didakwa berlaku di Kampung Surau, Nakhoda Saamah, Bachok, pada 27 Oktober 2009.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda di bawah peruntukkan seksyen berkenaan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd Arshad memohon tarikh sebutan semula kes berkenaan dan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan dia masih mempunyai kes lain di Terengganu.
Kes ditetapkan untuk lantikan peguam pada 6 Jun depan.