SEORANG wanita mendakwa adiknya hampir dirogol seorang lelaki ketika menggunakan tandas di sebuah stesen minyak di Rawang, malam semalam.
Berdasarkan sebuah perkongsian yang viral di Facebook, mangsa didakwa ditolak masuk kembali ke tandas oleh seorang lelaki ketika mahu keluar.
Lelaki berkenaan yang didakwa tidak berbaju bagaimanapun gagal meneruskan niat jahatnya kerana mangsa melawan dan berjaya melepaskan diri.
Kakak mangsa juga memuatnaik sedutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa melarikan diri dari tandas.
"Orang ramai pun sekadar tengok saja bila adik saya jerit minta tolong," kata kakak mangsa.
Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota Rela yang bertugas di JPN rawang dan pengawal sebuah surau yang membantu adiknya.
Difahamkan, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Rawang.