Serbuan dilakukan secara serentak di 23 buah premis melibatkan tujuh kawasan di negeri ini bermula pukul 2.45 petang dan berjaya menahan kesemua ejen terbabit iaitu 17 lelaki serta lima wanita berusia antara 25 hingga 57 tahun.
Ketua Penolong Pengarah Stagg, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, jumlah kutipan pertaruhan yang dirampas daripada ejen-ejen berkenaan dianggarkan sebanyak RM38,500 sehari dan RM439,400 setiap bulan.
Menurutnya, lokasi serbuan di tujuh kawasan itu adalah Taman Malim Jaya, Taman Teknologi Cheng, Batu Berendam, Taman Melaka Baru, Taman Semabok Perdana, Taman Bachang Baru dan Kawasan Perindustrian Krubong membabitkan kawasan perumahan dan pekan.
“Antara peralatan yang dirampas adalah 46 unit tele­fon bimbit, 35 unit mesin pencetak, 82 helai kertas bertulis angka, 54 gulung resit dan wang tunai RM22,542.
“Kita percaya kegiatan ini dijalankan sejak tiga tahun lalu dan operasi tersebut adalah yang kedua di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khairi memberitahu, sindiket perjudian itu menjadikan kedai runcit, kedai menjual te­lefon bimbit, kedai minuman dan bengkel motosikal untuk menjalankan kegiatan haram mereka.
Katanya, kegiatan judi di kawasan tersebut dilihat lebih bersistematik kerana beroperasi secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit dan pencetak mudah alih.
Tambahnya, enam daripada penganjur sindiket perjudian ini dikesan untuk siasatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959.