Search This Blog

Saturday, May 7, 2016

11 individu ditahan kes culik lelaki Bangladesh

Georgetown: Polis menahan 11 lelaki tempatan dalam beberapa serbuan di sekitar Jelutong, di sini, Rabu lalu selepas mereka dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang lelaki warga Bangladesh, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian jam 9.30 malam Isnin lalu, mangsa iaitu pekerja kilang berusia 29 tahun dilaporkan diculik sewaktu keluar dari rumah dengan menaiki kereta sebelum ditahan suspek yang kemudian menyembunyikannya di sebuah rumah di Jelutong.
Beliau berkata, suspek dikatakan meminta mangsa menghubungi keluarganya dan meminta wang tebusan RM5,000 menyebabkan mangsa menghubungi rakannya dan memaklumkan mengenai kejadian yang berlaku.
“Rakan mangsa menghubungi abang mangsa di Bangladesh dan menceritakan kejadian yang berlaku sebelum memasukkan wang RM5,000 seperti diminta sebagai wang tebusan pada Selasa sebelum mereka membuat laporan polis.
“Siasatan mendapati suspek turut menuntut sejumlah wang lagi dan meminta keluarga mangsa memasukkan wang tebusan sebagai umpan untuk melepaskan mangsa menyebabkan keluarga mangsa memasukkan RM9,000 lagi kepada suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini semalam.
Mior Faridalathrash berkata, selepas wang tebusan berjumlah RM14,000 dimasukkan, mangsa dibebaskan Rabu lalu dan selepas itu polis melancarkan serbuan sebelum akhirnya berjaya menahan 11 suspek lelaki berusia antara 19 hingga 25 tahun di beberapa lokasi di sekitar Jelutong dan pusat bandar bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, penculik melakukan jenayah berkenaan untuk mendapatkan wang mudah dan polis kini sedang mengesan seorang lelaki V Evasekar, 26, atau lebih dikenali sebagai Salsa yang masih bebas bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk topi keledar, telefon bimbit, slip pengeluaran wang, dompet, wang tunai RM5,000 dan beg silang dimiliki semua suspek yang ditahan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan,” katanya.
Sehubungan ittu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mengenali atau mengetahui lelaki bernama Salsa supaya menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:50 AM


Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan wajah suspek dan barang yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, semalam.

No comments:

Post a Comment