PEMILIK kedai (kanan) menghalang seorang lelaki yang menyerang wanita Islam dengan kata-kata berbaur perkauman di sebuah kedai runcit di barat London, kelmarin. Agensi
Portal Daily Mirror melaporkan, rakaman video yang diambil oleh wanita itu sendiri, Ahlam UmmAqsa menggunakan telefonnya menunjukkan lelaki terbabit berulang kali bertanya ‘Mengapa anda memakai itu?’, merujuk kepada purdah yang dipakainya.
Pada satu ketika, lelaki itu berkata; “Anak-anak saya tidak dapat lihat muka anda. Bagaimana saya tahu jika anda seorang lelaki atau wanita.”
Sepanjang kejadian itu, anak-anak lelaki terbabit mula menangis apabila melihat ayah mereka me­njerit ke arah wanita itu.
Ahlam kemudian membalas kata-kata lelaki itu dengan menyatakan bahawa dia perlu menunjukkan teladan baik kepada anak-anaknya.
“Jangan jadi jahil, berlagaklah seperti orang dewasa dan berhenti mengajar anak-anak cara begini,” kata wanita itu.
Apabila lelaki itu terus me­n­ye­rang wanita terbabit, seorang pe­langgan beragama Islam dan pemilik kedai runcit berkenaan campur tangan bagi menghentikannya.
Tidak dapat dipastikan apakah punca lelaki itu bertindak sedemikian, tetapi lelaki itu ada menyebut dia kehilangan 10 pound (RM55.27) di kedai terbabit.
Ahlam kemudian memuat naik video itu di YouTube dan mengucapkan terima kasih kepada lelaki yang membantunya.