Menurutnya, tidak mungkin wang penyeludupan berkenaan boleh terlepas daripada sistem pengurusan Bank Negara Malaysia (BNM) jika duit dengan jumlah yang banyak itu melalui saluran rasmi.
Katanya, beliau tidak tahu ber­apa banyak wang yang diseludup keluar daripada negara ini.
“BNM mempunyai satu sistem efisien apabila mereka yang mahu mengambil duit menerusi pengurup wang sekali pun, aktiviti itu akan direkodkan dan terdapat kira-kira 2,000 saluran yang dilesenkan BNM untuk berbuat demikian.
“Ini bermakna, mereka yang terlibat dalam kes tersebut membawa keluar wang secara haram setelah mendapat duit dengan cara tidak halal,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Jalan Dato’ Abdul Malik, Kampung Baru di sini, hari ini.
Setakat tahun 2015 katanya, sebanyak RM34 bilion telah dikeluarkan daripada negara oleh pekerja asing dengan menggunakan saluran yang betul.
Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia hari ini berhubung ‘Seludup Wang RM2.4 bilion’ yang membabitkan khidmat ‘keldai duit’ bagi melakukan penyeludupan wang ke sebuah negara jiran.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Sani Mistam; Pengerusi Perbadanan Kampung Baru (PKB), Datuk Affendi Zahari; Ketua Wilayah Tengah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Zahari Ismail; Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Syed Afendy Ali Syed Abid Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Datuk Mahadi Che Ngah.
Sementara itu, Johari memberi­tahu, urus niaga menerusi internet pada tahun lalu mencecah nilai kira-kira RM4.8 trilion dengan melibatkan hampir 450 juta transaksi dalam negara berdasarkan statistik yang diperoleh daripada BNM.
“Sudah tentu dengan fasiliti internet yang ada ini dapat membantu masyarakat secara keseluruhan. Tahun lalu, kerajaan sudah memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion bagi pelaburan dalam infrastruktur internet kerana ia dapat membantu memajukan ekonomi serta meningkatkan produktiviti negara,” ujarnya.