Search This Blog

Sunday, April 3, 2016

Terkejut bil TNB cecah RM99,000


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 APRIL 2016

Terkejut bil TNB cecah RM99,000

 Terkejut bil TNB cecah RM99,000 Chon Siang (tengah) mewakili pengguna Kuantan dan Bera berunding dengan pihak TNB, di pejabat TNB Jalan Gambut, semalam.
KUANTAN – Tujuh individu terkejut dan kecewa tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang didakwa mengenakan kadar tinggi gara-gara pertukaran jangka (meter) lama kepada yang baharu di premis dan kediaman dalam tempoh setahun lalu.

Akibatnya, mereka menerima bil elektrik yang melambung tinggi antara RM11,000 hingga mencecah RM99,000 bagi tempoh penggunaan selama dua tahun.

Adun Teruntum, Sim Chon Siang yang mewakili mereka berkata, dianggarkan kira-kira RM300,000 jumlah bil elektrik perlu dijelaskan beberapa pengguna dari Kuantan dan Bera.

“Melalui perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Runding TNB Kuala Lumpur, tiga daripada pengguna terbabit akan berdepan dakwaan di mahkamah kerana enggan menjelaskannya kerana telah menyewakan premis mereka dalam tempoh tersebut.

“Tiga kes masih lagi dalam rundingan kerana mereka  masih mahu memohon untuk kurangkan bayaran.Namun, terdapat satu kes diselesaikan hari ini (semalam)  apabila seorang pengguna dari Bera membayar bil tunggakan selepas TNB mengurangkannya kepada RM7,444 daripada RM14,700 yang perlu di bayar,” katanya kepada pemberita selepas satu pertemuan antara pengadu dengan pihak TNB, di pejabat TNB Jalan Gambut di sini, semalam.

Chon Siang menyarankan, Suruhanjaya Tenaga (ST) perlu keluarkan satu arahan kepada TNB ketika menukar jangka.

“Seharusnya setiap kali pertukaran jangka dibuat, pegawai ST perlu ada untuk lihat sama ada jangka lama mempunyai masalah atau sebaliknya.

“Ini kerana ketika kita cuba untuk selesaikan masalah pengguna, pihak itu menganggap pengguna mengubahnya atau mencuri elektrik walhal mereka tidak lakukan.

“Bila berlaku kejadian meter berubah hingga bil melambung tinggi pengguna lebih tertekan hingga ada yang takut untuk selesaikan masalah dan mendiamkan diri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Ir. Sharuddin Mohd Simin berkata, penukaran jangka rosak merupakan aktiviti yang dijalankan sepanjang masa untuk memastikan pengguna terima bil setiap bulan.

“Pengguna yang ada masalah berkaitan bil, pihak TNB mengalu-alukan sebarang rundingan kerana ada berlaku kes-kes usikan jangka yang melibatkan pengguna.

“Perbincangan dan rundingan termasuklah menentukan kadar tuntutan ganti rugi. Pihak kami sentiasa berusaha beri perkhidmatan terbaik dan sedia menerima maklum balas berkaitan bil dan jangka sekiranya terdapat masalah," katanya.

No comments:

Post a Comment