Search This Blog

Sunday, April 3, 2016

Tentera Laut AS ‘tinjau’ Spratly


AGENSI - GAMBAR fail kapal perang USS Stennis.


WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) merancang untuk sekali lagi melakukan pelayaran berhampiran beberapa pulau yang menjadi rebutan di Laut China Selatan bulan ini, kata satu sumber kelmarin.
Rancangan itu bakal menjadi tindakan ketiga AS mencabar sempadan dituntut China sehingga menimbulkan beberapa kenyataan keras daripada negara tersebut.
Masa sebenar pelayaran itu dan kapal yang akan digunakan untuk menghampiri sempadan 22 kilometer ditetapkan China dari pulau-pulau tersebut masih tidak jelas.
AS sebelum ini melaksanakan apa yang digelarnya sebagai latihan ‘kebebasan berlayar’ sejak beberapa bulan lalu dengan melalui kawasan berhampiran pulau-pulau terbabit untuk menegaskan haknya menggunakan perairan tersebut.
Beberapa pegawai Tentera Laut AS pernah memaklumkan mereka bercadang menjalankan lebih banyak aktiviti serupa dan dengan lebih kerap kelak.
Kumpulan kapal perang USS Stennis kini sedang beroperasi di Laut China Selatan. Operasi ‘kebebasan berlayar’ berikutnya berkemungkinan tidak akan dijalankan oleh sebuah kapal pengangkut pesawat seperti Stennis tetapi mungkin menggunakan sebuah kapal lebih kecil, jelas sumber tersebut.
Beberapa orang pakar menjangkakan tindakan AS mencabar beberapa tuntutan di Laut China Selatan mungkin dibuat di Terumbu Mischief, satu wilayah ditenggelami air pasang yang dituntut Filipina sebelum China bertindak menimbusnya dan membina sebuah pulau buatan manusia pada 2014.
Terumbu Mischief kini merupakan satu daripada tiga lapangan terbang ketenteraan yang telah dibina China di atas pulau-pulau buatan manusia di Gugusan Kepulauan Spratly. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz44iW9venu 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment