Difahamkan, pada pukul 2.30 petang hari kejadian, suspek berusia 26 tahun itu menyamar sebagai penculik dan menghubungi abang saudaranya yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat swasta dengan meminta wang tebusan sebanyak RM60,000.
Menerusi panggilan itu, suspek turut mengugut akan membunuh ‘mangsa culik’ sekiranya wang tebusan tidak diberikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supe­rintenden Mohd. Roy Suhaimi Sarif berkata, ekoran itu, abang saudaranya membuat laporan polis dengan mengatakan suspek diculik empat lelaki.
“Menurut pengadu, panggilan culik dibuat menggunakan nombor telefon milik adik saudaranya. Perbualan antara mereka diteruskan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sehingga suspek bersetuju menurunkan ‘wang tebusan’ kepada RM25,000.
“Penculik kemudian meminta wang tebusan itu dimasukkan ke dalam akaun bank ‘mangsa’,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Roy Suhaimi memberitahu, pihaknya mendapati pengeluaran wang tebusan itu dibuat oleh ‘mangsa culik’ di sebuah bank di Kajang sebelum menahannya pada pukul 4 petang hari yang sama.
Jelas beliau, ekoran daripada itu, suspek mengaku sengaja mengada-adakan cerita bahawa dirinya diculik kerana menghadapi masalah kewangan.
Ujarnya, suspek direman selama empat hari bermula semalam di bawah Seksyen 365 Kanun Ke­seksaan kerana cubaan menculik.