Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli terhadap lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai ejen insurans serta isterinya yang merupakan seorang doktor perubatan di Hospital Jitra berumur 28 tahun.
Difahamkan suspek yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan pesakit mental yang sedang menjalani rawatan dan mengambil ubat khas.
Akhbar hari ini melaporkan Nurul Syahira maut dalam keadaan menyedihkan dipercayai akibat didera kenalan lelakinya yang juga bapa kepada seorang anak berusia enam bulan setelah tinggal bersama keluarga tersebut sejak Februari lalu.
Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri di dalam bilik utama di tingkat dua rumah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Jitra dengan menggunakan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang.
Sementara itu, pasangan suami isteri tersebut dilihat memakai pakaian lokap ketika berada di mahkamah dengan doktor wanita berkenaan dibenarkan mendukung bayi lelaki pasangan terbabit yang berusia enam bulan.
Sebelum prosiding bermula, wanita berkenaan turut dibenarkan untuk berada di satu ruang dalam bangunan mahkamah bagi menyusukan bayinya yang kelihatan merengek.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail ketika dihubungi memaklumkan, pihak polis sudah pun mendapatkan keterangan berhubung hasil bedah siasat yang dilakukan Pakar Forensik di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pagi ini.
“Laporan lengkap forensik bagaimanapun akan dikemukakan kemudian. Untuk tidak mengganggu siasatan polis, kami menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat sebarang kenyataan berhubung kes ini,” katanya.