Rashidi Hasbullah
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, para jemaah perlu menghubungi agensi berkenaan bagi memastikan ejen yang dilantik adalah yang berlesen dan berdaftar bagi mewakili syarikat berkenaan.
“Kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka pasti akan ditipu oleh ejen palsu-palsu tersebut lebih-lebih lagi jika bayaran dibuat menggunakan akaun peri­badi ejen bukannya akaun milik agensi atau syarikat,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kejadian artis Nubhan Ahmad dan Juara Akademi Fantasia (AF) 2014, Firman Bansir menga­lami kerugian hampir RM20,000 apabila ditipu ejen yang mewakili sebuah agensi pengurusan umrah apabila terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas nama mereka tidak ada dalam senarai penerbangan yang dija­dualkan untuk berlepas ke tanah suci.
Rashidi berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis ekoran kejadian tersebut bagi memastikan sindiket terbabit dibawa ke muka pengadilan.
“Di samping itu, kami akan membawa perkara ini ke Majlis Kawal Selia Umrah dalam satu me­syuarat yang akan diadakan pada minggu hadapan.
“Ini bagi memboleh­kan anggota majlis mencari jalan yang paling efektif bagi mengatasi masalah penipuan umrah ini,” katanya.
Majlis berkenaan dianggotai wakil Jabatan Wakaf, Haji dan Umrah (Jawhar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Agensi-agensi Pelancongan Dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Menurut Rashidi, pihaknya dengan pelbagai agensi berkaitan sentiasa mengadakan kempen bergerak ke seluruh negara bagi menyedarkan orang ramai mengenai sindiket penipuan umrah.
“Ini termasuklah jangan mudah tertipu apabila ada mana-mana individu yang menggunakan popularitinya sebagai duta pelancongan dan umrah.
“Duta-duta seperti ini perlu mendapat kebenaran kementerian dan hanyalah untuk tujuan promosi. Orang ramai tidak boleh membuat sebarang bayaran kepada duta berkenaan,” katanya.