Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, suspek yang bertopeng telah mengikat empat ahli keluarga mangsa sebelum melarikan diri bersama barang-barang berharga dan sebuah kenderaan pacuan empat (4WD).
Sumber memberitahu, suspek bertubuh kecil dan bertutur dalam bahasa Indonesia memecah ma­suk ke rumah mangsa melalui tingkap kecil di bilik bacaan terletak di tingkat bawah dengan mengumpil menggunakan pemutar skru.
“Kehadiran penjenayah itu disedari oleh seorang anak lelaki mangsa berusia 19 tahun semasa mereka sudah berada di ruang dapur.
“Mangsa walau bagaimanapun tidak sempat melakukan apa-apa kerana diugut akan dicederakan oleh suspek menggunakan pisau yang diambil dari dapur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, mangsa bersama tiga ahli keluarga yang lain telah diikat dan dikumpul dalam bilik utama di tingkat atas sebelum penjenayah menggeledah kediaman itu untuk mencari barang berharga.
Beliau berkata, suspek telah melarikan enam unit telefon bimbit pelbagai jenama bernilai kira-kira RM15,600, wang tunai RM9,000, barang kemas (RM50,000), tiga utas jam tangan berjenama (RM45,000) dan seunit komputer riba (RM3,900).
Turut dilarikan ialah sekotak peluru senapang patah dan sebuah Toyoto Hilux.
“Sebelum suspek melarikan kenderaan, mangsa mendengar suspek membunyikan hon.
“Mangsa kemudian terus mengambil senapang patah yang disimpan di bawah katil dan melepaskan tembakan ke udara untuk menarik perhatian jiran-jiran bagi mendapatkan bantuan,” katanya.