Search This Blog

Wednesday, April 6, 2016

Rampas 456 Kg daun ketum

Padang Besar: Empat lelaki ditahan anggota Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis kerana cuba menyeludup bungkusan daun ketum ke negara jiran, Thailand dalam tiga kejadian berasingan di Padang Besar, semalam.
Komander AKSEM Perlis, Deputi Superitendan Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian pertama pada 9.50 pagi, sepasukan anggota Risikan AKSEM Chuping yang sedang membuat rondaan di kawasan Timah Tasoh, Beseri, di sini menahan seorang lelaki yang memandu kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran Pusat Serenti Bukit Chabang.
“Apabila anggota kami memeriksa dalam kereta itu terdapat 15 bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi daun hijau disyaki daun ketum seberat 72 kilogram (Kg) di but kereta itu dan lelaki berusia 38 tahun itu ditahan untuk siasatan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat AKSEM Perlis, di sini, pagi tadi.
Tambahnya lagi, rampasan oleh anggota AKSEM itu tidak tamat di situ apabila pada 9.50 malam pula, mereka memberkas dua lelaki termasuk remaja berusia 15 tahun dalam sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam di Kilometer 27 Jalan Padang Besar-Ulu Pauh.
“Lelaki berusia 25 tahun itu bersama remaja berkenaan ditahan selepas pemeriksaan kami mendapati empat bungkusan guni putih berisi daun disyaki daun ketum seberat 216 Kg di but kereta berkenaan” katanya.
Seorang lagi lelaki berusia 35 tahun ditahan dalam kenderaan pacuan empat roda 25 minit kemudian di kawasan Kampung Kolam, Padang Besar kerana membawa 17 bungkusan plastik berisi daun disyaki daun ketum seberat 168 Kg di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan itu.
“Kita percaya tiga kes ini walaupun tidak berkaitan didalangi sindiket yang cuba menyeludup daun ketum ini ke negara Thailand disebabkan permintaannya yang tinggi di negara itu,” katanya lagi.
Suspek yang ditahan itu dipercayai orang suruhan yang akan menyeludup bekalan daun ketum ini ke negara jiran melalui laluan tikus™ berhampiran pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Wang Kelian.
Kesemua suspek kini diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan penjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 4:57 PM


SYED Basri menunjukkan daun ketum yang cuba diseludup. FOTO Eizairi Shamsudin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/128372#sthash.WercBiIf.dpuf

No comments:

Post a Comment