Search This Blog

Thursday, April 7, 2016

Pulang tatap mayat isteri

Endau: “Sudah seminggu saya berada di laut dan sangat rindukan isteri dan anak. Saya terkejut apabila dimaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya.
“Saya sangka isteri hanya cedera ringan, namun terkejut apabila dia meninggal dunia,” kata Azizol Musa, 35, suami kepada Nor Nazuha Yasin, 35, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Haji Ariffin, di sini, jam 7.50 malam kelmarin.
Dalam kejadian itu, Proton Waja dipandu Nor Nazuha untuk menghantar anak perempuannya, Nurul Farisha, 10, menghadiri kelas tuisyen bertembung dengan Mazda dipandu seorang lelaki berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin.
Akibatnya, Nor Nazuha cedera di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dibawa ambulans ke Klinik Kesihatan Endau.
Pada masa sama, Nurul Farisha dan adiknya, Nurul Damiya berusia enam bulan cedera serta dirujuk ke klinik sama.
Pemandu Mazda, Loh Seng Yong, 22, patah paha kanan dan kaki kiri. Dia dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang untuk rawatan.
Kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari kediaman mereka di pekan Endau ke Jalan Haji Ariffin manakala Mazda pula dari arah bertentangan.
Berikutan kejadian, 10 anggota bomba bersama sebuah jentera diketuai Pegawai Bomba Kanan I Sulong Khaled dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa.
Menceritakan mengenai berita sedih berkenaan, Azizol yang juga nelayan di Endau memaklumkan, menjadi rutinnya turun ke laut untuk tempoh panjang bagi mencari nafkah keluarga terutama di sekitar Endau hingga ke Rompin, Pahang.
“Kali ini tempoh turun ke laut lama dan kami dijangka pulang ke daratan dalam masa tiga hari (sebelum kejadian). Sebaik dimaklumkan, saya segera pulang untuk menguruskan jenazah isteri.
“Selepas proses bedah siasat selesai, jenazah dibawa ke kampung halamannya di Kuala Besut, Terengganu untuk dikebumikan,” katanya, semalam.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing Asisten Superintendan Hamka Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 8:50 AM

KEADAAN kenderaan dipandu Nor Nazuha dan kereta Mazda yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Haji Ariffin.

No comments:

Post a Comment