Search This Blog

Monday, April 4, 2016

PU Alen kecewa gerai diroboh


WARTAWAN SINAR HARIAN
PU Alen kecewa gerai diroboh


 Penguat kuasa MBPP merampas barangan perniagaan milik PU Alen. Gambar kecil: Alen Castello.


 BATU FERRINGHI - "Saya kecewa!" Itulah reaksi pemilik gerai char kuey teow, Alen Castello, selepas gerai perniagaannya dirobohkan penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kelmarin.
Alen Castello yang merupakan salah seorang peserta program Pencetus Ummah (PU) berkata, gerai yang dirobohkan itu sudah beroperasi sejak tahun 2002 dan diambil alih olehnya pada tahun 2008.
Alen atau nama sebenarnya Mohd Azlan Ahmad berkata, dia kecewa kerana sumber pendapatan utamanya hilang sekelip mata.
“Saya tidak nafikan pernah menerima saman, namun berasa hairan kenapa mereka tidak memberikan saya peluang.
Perniagaan International Char Kue Tiau yang terletak di Batu Ferringghi itu juga berada di lokasi tarikan pelancong.
Tidak dinafikan ia semakin popular sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Ia setelah video Mohd Azlan yang menyanyikan lagu ‘She’s Gone’ menjadi viral di media sosial.
Selain mempunyai imej rock, beliau juga menjadi imam di Batu Ferringhi sehinggalah kemudiannya berjaya memasuki program PU.
Alen mengakui sejak itu pelanggannya bertambah sebanyak 70 peratus.
“Saya bukannya riak atau mendabik dada, tapi Alhamdulillah, perniagaan itu semakin dikenali ramai.
“Tetapi kini saya sudah tidak mempunyai pendapatan utama lagi,” katanya.
Difahamkan tindakan tersebut dikenakan atas sebab Alen menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki.
Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian ke lokasi yang sama mendapati masih ramai peniaga lain yang menjalankan perniagaan di atas laluan yang sama.
Pengikut laman Facebook PU Mohd Azlan itu menyatakan tanda sokongan masing-masing dan menzahirkan rasa kecewa dan juga simpati.
Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas MBPP dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment