Search This Blog

Loading...

Tuesday, April 12, 2016

PM Britain ada akaun rahsia






PENUNJUK perasaan membawa sepanduk menuntut Cameron meletakkan jawatan berarak di Whitehall, London petang kelmarin. - REUTERS

LONDON – Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam mengaku tersilap dalam menguruskan kontroversi melibatkan kepentingan perniagaan luar pesisir milik bapanya selepas kumpulan penunjuk perasaan berkumpul di luar pejabatnya bagi menuntut beliau meletak jawatan.

Cameron berkata, beliau akan mendedahkan taksiran cukai tahunannya dan akan memikul tanggungjawab berhubung isu tersebut.

Perdana Menteri itu dan pejabatnya di Downing Street telah mengeluarkan empat kenyataan akhbar melibatkan pendedahan Kertas Panama sebelum mengaku pada Khamis lalu bahawa beliau pernah memegang saham dana pelaburan luar pesisir milik mendiang bapanya di Kepulauan Bahamas.

“Ini bukan minggu yang baik. Saya tahu bahawa saya sepatutnya menguruskan isu ini dengan lebih baik.

“Janganlah salahkan Pejabat Perdana Menteri ataupun penasihat-penasihat saya. Sebaliknya, salahkan saya,” kata Cameron pada forum Parti Konservatif di London.

Sementara itu, beratus-ratus penunjuk perasaan, kebanyakannya memakai topi Panama berkumpul di luar Downing Street pada petang kelmarin untuk menuntut Cameron meletak jawatan.

Mereka membawa sepanduk tertera ayat ‘Apa yang berlaku di Panama, tidak kekal di Panama’ sambil berarak di tengah kota London menuju ke Dataran Trafalgar. Kehadiran kumpulan penunjuk perasaan itu turut menyebabkan lalu lintas terhenti.

Cameron pada Khamis lalu, mengaku beliau dan isterinya pernah mempunyai pegangan dalam syarikat luar pesisir milik bapanya, Blairmore Holdings.

Mereka membeli pegangan itu pada harga £12,497 (RM69,145) pada 1997 dan menjualnya pada harga £31,500 (RM174,288) empat bulan sebelum Cameron menjadi Perdana Menteri Britain pada 2010. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz45bIRGeOy
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment