Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, lelaki berusia 44 tahun berkenaan ditahan selepas lima anggota Aksem yang membuat rondaan di Ladang Rakyat Bukit Kayu Hitam, di sini menemukan sebuah lori tangki di kawasan mencurigakan.
Komander Aksem negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapati lelaki itu menggunakan dokumen penghantaran minyak yang meragukan ketika pemeriksaan dilakukan ke atasnya.
“Pemandu lori yang bekerja di sebuah syarikat di Pulau Pinang mendakwa diminta kawannya yang tidak dapat bertugas untuk menghantar diesel tersebut ke kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.
“Sebelum membuat penghantaran, suspek yang diupah sebanyak RM85 bagi setiap penghantaran hanya diberi pelan untuk ke tempat tersebut tetapi tersesat ke kawasan Ladang Rakyat.
“Berdasarkan dokumen yang ditunjukkan, didapati bekalan diesel itu dibeli dari sebuah depot di Pulau Pinang untuk dihantar ke Klang, Selangor namun anggota kita curiga kerana destinasi penghantaran yang berbeza,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Latif memberitahu, pihaknya menahan lelaki tersebut bersama lori dan 32,000 liter diesel yang dianggar bernilai RM243,200 mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan dengan niat melakukan kesalahan.
“Jika sabit kesalahan bagi individu, mereka boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama mana­kala bagi kesalahan kedua, denda RM200,000 atau lima tahun penjara.
“Bagi syarikat pula, boleh didenda RM250,000 bagi kesalahan pertama atau setahun penjara manakala RM500,000 bagi kesalah­an kedua atau dua tahun penjara,” ujarnya.
Menurut Abdul Latif, diesel itu dipercayai untuk dihantar ke stor sementara sebelum di seludup ke negara jiran, Thailand.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan diesel tersebut untuk stok berikutan kebimbangan harga bahan api itu akan meningkat pada 1 April lalu,” katanya.