Search This Blog

Wednesday, April 6, 2016

Peragut menyamar polis

RABU, 6 APRIL 2016 @ 5:17 PM

Oleh Siti Rohana Idris
bhkb@bh.com.my





TUMPAT: Seorang gadis diragut lelaki menyamar sebagai anggota polis yang menahannya di Kampung Ana, dekat sini, pagi tadi.

Khairatul Nis Suhaimi, 22, dari Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, berkata dia yang menunggang motosikal untuk menjalani latihan amali di sebuah hotel, tidak menyedari diekori lelaki bermotosikal sebelum kejadian itu kira-kira jam 10 pagi.

"Sebaik tiba di Kampung Ana, dia arahkan saya berhenti sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis. Saya diminta menunjukkan MyKad dan lesen memandu sebelum diarah mengikutnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat tanpa memberitahu apa kesalahan dilakukan," katanya.

Curiga dengan tindak tanduk suspek, penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, Terengganu itu segera menghubungi bapanya, namun sebelum selesai bercakap, dia dimarahi lelaki berkenaan.

"Dia memaksa saya segera mengikutnya ke IPD Tumpat, namun enggan memberitahu apa kesalahan saya meskipun ditanya berulang kali," katanya.

Kerana takut, Khairatul Nis mematuhi arahan lelaki itu, namun kira-kira 500 meter menunggang, motosikalnya terbabas di tepi jalan.

"Lelaki itu mengambil kesempatan memotong tali beg sandang saya dengan senjata tajam untuk mencurinya sebelum melarikan diri. Saya menjerit meminta tolong namun lelaki itu sudah lesap," katanya yang membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Chabang Empat, di sini.

Ketua Polis Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip, mengesahkan polis menerima laporan terbabit dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 339 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment