Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, suspek seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berumur 37 dan 39 tahun ditahan selepas mereka didapati menaiki kereta yang sedang dikesan oleh pihak polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan mengaku berasal dari Colombia.
“Pemeriksaan pada kereta suspek jenis Toyota Camry yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, barangan kes seperti peralatan pecah rumah, pelbagai nombor pendaftaran kereta palsu dan sarung tangan telah ditemukan.
“Pemeriksaan pada badan suspek lelaki pula menemukan sebilah pisau benet manakala pemeriksaan pada sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Viva terletak berhampiran yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan pecah rumah menemukan dua jubah dan satu kopiah,” katanya dalam sidang akhbar sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Adnan memberitahu, penahanan suspek turut membawa kepada penemuan pelbagai barangan curi bernilai kira-kira RM200,000 hasil serbuan di dua buah kondominium yang disewa suspek di kawasan Datuk Keramat pada hari sama.
Ujarnya, antara barangan yang ditemukan termasuklah jam tangan jenama Rolex, rantai emas, gelang emas pelbagai mata wang asing dan beg tangan wanita.
“Kumpulan penjenayah ini menggunakan modus operandi baharu dengan menyamar memakai jubah serta kopiah untuk meninjau kawasan perumahan supaya tidak disyaki oleh orang awam sebelum memecah masuk sesuatu kediaman.
“Seorang lagi lelaki warga tempatan berumur 47 tahun turut ditahan di Seksyen 9, Shah Alam, semalam kerana dipercayai bersubahat dengan menyewakan kenderaan serta memberi bantuan lain kepada suspek,” katanya.
Tambah Mohd. Adnan, pihaknya telah menyiasat kumpulan itu sejak awal bulan lalu dan hasil tangkapan tersebut mereka percaya sebanyak lapan kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang telah diselesaikan.
“Dua suspek warga Latin itu kini masih dalam tahanan reman sehingga 5 April ini dan polis sedang mendapatkan perintah reman dari mahkamah untuk suspek warga tempatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.