Search This Blog

Tuesday, April 5, 2016

Pengawal keselamatan dipenjara curi komputer


5 APRIL 2016


KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan dipenjara sehari dan didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah komputer riba milik seorang wanita.

Majistret Ahmad Solihin Wahid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohamad Hafizie Hasnor, 22 dan memerintahkannya dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mohamad Hafizie didakwa mencuri komputer milik Hazlina Curai@Mohd Nor, 44, di sebuah rumah bernombor 121 Blok B Jalan Sungai Baru Kampung Baru di sini pada 12 tengah hari, 28 Jan lalu mengikut seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa memberitahu mangsa bahawa tertuduh telah datang ke rumah untuk mengambil komputer yang rosak itu untuk dibaiki di kedai lain.

Mangsa bersama suaminya kemudian menghubungi tertuduh beberapa kali, namun selepas diperiksa, tertuduh telah menjual komputer itu dengan harga RM350 sebelum melarikan diri.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah agar hukuman diringankan kerana berpendapatan rendah iaitu RM1,200 dan tidak mampu untuk membayar jumlah denda yang tinggi selain telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorelyna Hanim Abdul Halim memohon hukuman setimpal

supaya memberi pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh tetapi orang awam supaya tidak melakukan kesalahan tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment