Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, 44, sebelum itu dikatakan telah meminta wang bayaran minuman daripada kumpulan tersebut.
Malangnya, mereka tidak mahu membayar harga minuman itu sebaliknya salah seorang daripada kumpulan berkenaan bertindak meminta RM500 daripada mangsa sebagai bayaran perlindungan untuk menjaga premis tersebut.
Menurut sumber, keengganan mangsa berbuat demikian menyebabkan suspek dan rakan-rakannya naik berang sebelum merosakkan barang-barang di dalam kedai.
“Selepas merosakkan barang-barang di dalam kedai, suspek turut memukul mangsa di kepala menggunakan botol.
“Ia menyebabkan mangsa terpaksa menerima 17 jahitan di kepala selain turut cedera di tangan dan kaki,” katanya di sini hari ini.
Kata sumber, mangsa turut kehilangan wang tunai kira-kira RM10,000 yang disimpan di kaunter selain sebuah telefon bimbit jenama Sony dan beberapa kotak rokok.
Pada masa yang sama, katanya, mangsa juga terpaksa menanggung kerugian selepas kerusi dan meja di premisnya rosak akibat pergaduhan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, pihak polis sedang melakukan siasatan lanjut berkenaan kes itu di bawah Seksyen 148 dan 324 Kanun Keseksaan.