Search This Blog

Sunday, April 3, 2016

Pemandu teksi Brazil bantah operasi Uber


RIO DE JANEIRO – Beratus-ratus teksi menghalang lalu lintas di Rio de Janeiro kelmarin bagi memprotes operasi Uber sehingga menyekat perjalanan orang ramai ketika bandar ini menjadi tuan rumah sukan Olimpik empat bulan lagi.
“Tolak teksi haram,” antara slogan yang dibawa pemandu-pemandu teksi yang berang berhampiran lapangan terbang domestik Rio di pusat bandar ini.
“Sesiapa yang menentang rasuah tidak akan menggunakan teksi haram,” tulis satu lagi slogan bagi menarik perhatian orang ramai susulan satu skandal rasuah melibatkan kerajaan Brazil dan golongan elit dunia perniagaan.
Beberapa buah teksi yang masih beroperasi turut ditahan rakan sekerja mereka yang menunjuk perasaan.
Seorang wanita memberitahu stesen radio CBN bahawa dia dan suaminya terpaksa menggunakan khidmat tiga penunggang motosikal untuk membawa beg mereka melepasi halangan lalu lintas ke lapangan terbang.
Kumpulan pemandu teksi Rio itu me­nuntut Uber, iaitu syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat yang kini beroperasi di lebih 60 negara agar meninggalkan Brazil.
Uber tidak mempunyai kebenaran rasmi untuk beroperasi di Rio tetapi masih meneruskan operasi mereka di bawah satu injunksi mahkamah.
Syarikat itu baru-baru ini mengumumkan akan mengembangkan operasi ke beberapa pasaran baharu seperti Brazil dengan menawarkan tambang lebih murah berbanding teksi tradisional. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz44iWNsB6u 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment