Panama Papers membongkar penyembunyian kekayaan di pusat kewangan pesisiran pantai oleh ahli politik dan selebriti melalui sebuah firma guaman di Panama, pendedahan berskala besar, ribuan kali ganda lebih besar daripada yang pernah dilakukan oleh laman web WikiLeaks berhubung skandal rampasan Cablegate pada 2010.
Dokumen melibatkan 4.8 juta e-mel, tiga juta fail pangkalan data dan 2.3 juta imej daripada firma tersebut, Mossack Fonseca turut menamakan rakan rapat Presiden Rusia, Vladimir Putin, ahli keluarga pemimpin China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson serta pemain bola sepak kelab terkemuka dunia, Barcelona, Lionel Messi.
Di Reykjavik, Iceland, beribu-­ribu penduduk mengadakan demonstrasi di jalan-jalan raya, malam tadi bagi menggesa Gunnlaugsson berundur daripada jawatannya, ekoran dakwaan beliau dan iste­rinya menggunakan firma itu untuk menyembunyikan berjuta-juta dolar pelaburan.
Australia telah melancarkan siasatan terhadap 800 pelanggan Mossack Fonseca.
Perancis dan Belanda juga ­mengumumkan pembukaan siasatan, manakala satu sumber kehakiman berkata, Sepanyol turut melancarkan siasatan ke atas penggubahan wang haram terhadap firma guaman tersebut.
Dalam pada itu, Panama juga berikrar melancarkan siasatan untuk mengenal pasti sebarang perlakuan jenayah dan kerugian yang perlu diberi pampasan.
Dokumen rahsia Panama Papers didedahkan oleh akhbar harian Jerman, Sueddeutssche Zeitung. – AFP