Search This Blog

Tuesday, April 12, 2016

Mayat buruh asing tertimbus pasir ditemui



Oleh S Anand Kumar



MAYAT pekerja warga Indonesia yang tertimbus akibat runtuhan tanah di sebuah tapak perlombongan pasir di Linggiu, Bandar Tenggara dekat Kota Tinggi, Jumaat lalu ditemui petang tadi. - Foto ihsan PDRM
KOTA TINGGI: Mayat seorang pekerja warga Indonesia yang tertimbus akibat runtuhan tanah di sebuah tapak perlombongan pasir di Linggiu, Bandar Tenggara dekat sini, Jumaat lalu ditemui petang tadi.  
Mayat Udin Nurudin, 45, dikeluarkan kira-kira jam 2.20 petang, oleh lima pekerja syarikat perlombongan pasir berkenaan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan menggunakan mesin pengorek tanah. 
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi mayat pertama yang juga rakan senegara mangsa, Saeful Amir, 30, ditemui pada hari kejadian.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi pada jam 3 petang tadi untuk proses bedah siasat dan hasil laporan menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala," katanya. 
Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi Jumaat lalu, mayat Saeful ditemui tersepit di rantai besi mesin penyedut pasir sebelum dibawa keluar dengan bantuan beberapa pekerja lain di tapak lombong pasir berkenaan. 
Bagaimanapun, SAR tidak dapat diteruskan dan diberhentikan pada jam 12 tengah hari, Sabtu lalu berikutan berlaku pergerakan tanah di tapak perlombongan berkenaan.

No comments:

Post a Comment