Search This Blog

Loading...

Sunday, April 10, 2016

Lima lagi diberkas


Sindiket Love Scam upah warga asing cari ‘keldai akaun’

MASZUREEN HADZMAN  |  10 April 2016 6:00 PM

KUALA LUMPUR 9 April - Walaupun sudah acap kali diperingatkan mengenai perbuatan jahat dalam memperdayakan wanita melalui sindiket Love Scam, namun ia seolah-olah tidak mampu menyedarkan segelintir golongan itu.

Terbaharu, sindiket mengubah modus operandi mereka dengan mengupah warga asing sebagai ‘ejen’ untuk mencari ‘keldai akaun’. Taktik itu terbongkar ekoran penahanan seorang ‘ejen’ warga Bangladesh bersama empat anggota sindiket berkenaan yang terdiri daripada warga Nigeria dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di dua buah apartmen di Kepong dan Puchong, Selangor semalam.

Dengan bantuan suspek tersebut yang menerima upah 10 peratus bagi setiap akaun mangsa, sindiket yang beroperasi sejak tahun lalu itu dipercayai mengaut keuntungan RM390,000 selepas memperdaya 14 wanita tempatan melalui sebuah akaun Facebook dengan menggunakan nama samaran Raymond.

Lelaki berusia 39 tahun itu dikatakan telah mencari lebih 10 ‘keldai akaun’ sepanjang tempoh sindiket itu beroperasi.

Suspek merupakan ‘ejen’ warga asing pertama diupah sindiket Love Scam yang berjaya dicekup polis.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi JSJK, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, lelaki Bangladesh tersebut merupakan suspek pertama yang ditahan dalam serbuan bermula pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi itu.

Beliau berkata, suspek ditahan di sebuah apartmen di Kepong dan semasa itu dia baru sahaja mengeluarkan wang RM80,000 dari sebuah akaun.

“Bagaimanapun ketika ditahan hanya RM8,600 berjaya dirampas daripada suspek kerana RM71,400 lagi telah diserahkan kepada salah seorang anggota sindiket berkenaan sebelum itu.

“Perkara itu diketahui berdasarkan pengakuan dan rekod transaksi suspek,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Roslan memberitahu, susulan penahanan tersebut, pihaknya membuat satu lagi serbuan di sebuah apartmen di Puchong dan menahan empat lelaki warga Nigeria berusia antara 22 dan 33 tahun yang merupakan anggota sindiket Love Scam.

Katanya, polis turut merampas lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama, empat komputer riba dan beberapa kad bank.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya kini giat memburu seorang lagi rakan suspek yang juga warga Nigeria yang melarikan diri bersama wang yang diperoleh oleh suspek warga Bangladesh itu.

“Permohonan reman akan dibuat ke atas kesemua suspek yang ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter miliknya turut merakam tahniah atas kejayaan itu.

No comments:

Post a Comment