Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman sehingga 6 April ini selepas kelima-lima lelaki itu yang berpakaian lokap dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini pada pukul 9.55 pagi.
Kesemua individu tersebut berusia 38 sehingga 48 tahun telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Lembah Klang pada malam tadi.
Menurut jurucakap SPRM, penahanan kelima-lima lelaki itu ekoran aduan oleh pegawai Mara Daerah Klang, Selangor yang mendakwa wujudnya sindiket penyelewengan dan pemalsuan dokumen permohonan pinjaman perniagaan kepada agensi tersebut antara tahun 2013 sehingga 2014.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, Mara terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit kerana dana tersebut sepatutnya digunakan untuk pinjaman perniagaan telah diseleweng bagi tujuan lain.
“Menerusi modus operandi ber­kenaan, mereka didakwa telah me­lakukan beberapa pinjaman bernilai antara RM200,000 sehingga RM350,000 untuk setiap transaksi.
“Walau bagaimanapun, mereka menggunakan pinjaman tersebut untuk tujuan lain dan bukannya se­perti tercatat dalam dokumen permohonan kepada Mara,” katanya.
Ujarnya, SPRM telah menyita sebuah kereta pacuan empat roda dan sebuah motosikal berkuasa tinggi ketika kelima-lima lelaki itu ditangkap semalam.