Search This Blog

Saturday, April 2, 2016

Lelaki Menyamar Pegawai Polis Ditahan


Diterbitkan: Sabtu, 2 April 2016 8:48 AM

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis bagi menjalankan aktiviti penipuan dan memeras ugut orang ramai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, modus operandi suspek adalah dengan menggunakan beberapa nama samaran seperti Tuan Faizal, Inspektor Faizal, Inspektor Azmi, Inspektor Saiful, Inspektor Rahim atau Inspektor Samsudin dan membuat panggilan kepada waris individu yang telah ditangkap polis.
"Suspek kemudian akan berunding dan memperdaya waris bahawa dia mempunyai kemampuan untuk membebaskan individu-individu yang telah ditahan dengan syarat sejumlah wang dibayar ke akaun bank yang diberikan olehnya.
"Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam 49 kes penipuan dengan jumlah kerugian sebanyak RM373,750. Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya masih terdapat mangsa lain telah diperdayakan suspek," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius perlakuan jenayah tersebut kerana ia mencemar imej PDRM serta dikhuatiri akan menghakis kepercayaan orang awam terhadap pasukan keselamatan itu. 
"Sehubungan itu, kami menyeru mana-mana pihak yang menjadi mangsa penipuan atau pernah dihubungi suspek supaya tampil membuat laporan di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment