Search This Blog

Wednesday, April 6, 2016

Lans Koperal bersama dua lelaki ditahan bantu kes curi


WARTAWAN SINAR HARIAN
6 APRIL 2016

KAMPUNG RAJA - Tiga lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditahan untuk membantu kes kecurian kabel elektrik di jalan Keruak Gunung Bongsu dekat Kampung Pak Sik, Hulu Besut di sini.

Anggota terbabit yang berusia 35 tahun ditahan bersama dua individu lain yang berusia 20 dan 26 tahun di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Baru Belaoh dekat Keruak, Hulu Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, anggota terbabit yang sebelum ini didapati tidak hadir bertugas di sebuah balai polis di negeri lain sejak Februari lalu ditahan dalam satu serbuan Ops Lusuh oleh Pasukan Khas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah sekitar jam 5 pagi hingga 1 petang kelmarin.

Menurutnya,  serbuan tersebut dilakukan berdasarkan maklumat awam berikutan kecurian kabel bawah tanah di jalan tersebut sebelum itu.

“Hasil pemeriksaan polis telah menemui  dan merampas beberapa gulung kabel yang dipercayai dicuri di lokasi tersebut berhampiran rumah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut, polis turut menemui satu beg galas di dalamnya mengandungi  tiga bilah pisau, satu pemotong besi dan sebiji  lampu suluh yang dipercayai digunakan untuk tujuan  mencuri kabel itu,” katanya.

Khaled berkata, ketiga–tiga suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut sementara saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif pil kuda bagaimanapun, mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

No comments:

Post a Comment