Search This Blog

Loading...

Thursday, April 7, 2016

Ku sangka APMM tiba...

Tawau: “Pada mulanya saya menyangka bot laju menghampiri kami ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana mereka bertopeng, tetapi sebaik tiba baru kami sedar mereka bukan pasukan keselamatan,” kata kapten kapal tunda Massive 6, Herwandi, 38, menceritakan detik ditawan kumpulan bersenjata berhampiran perairan Pulau Ligitan, Semporna pada 1 April lalu.
Menurutnya, sebaik dipintas dan diarah berhenti, dia tiada pilihan, selain mengarahkan enjin dimatikan sebelum bot laju itu merapati kapal mereka.
“Ketika menyedari kehadiran bot laju itu, seorang kru Wong Teck Kang meninjau melalui teropong dan memaklumkan milik APMM.
“Saya tidak memikirkan perkara itu dan menyediakan senarai kru kapal untuk pemeriksaan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, semalam.
Herwandi berkata, namun apabila bot laju itu semakin hampir, dia mendapati bot itu bukan milik APMM manakala Wong turut mengesahkan mereka ‘lain’ daripada pasukan keselamatan.
“Selepas bot laju ini mula rapat, empat daripada mereka yang lengkap bersenjata naik ke kapal dan mengacukannya kepada kami.
“Saya sempat bertanyakan kemahuan mereka, tetapi tidak diendahkan, sebaliknya terus menghampiri Wong,” katanya.
Menurutnya, Wong ada menawarkan wang, tetapi kumpulan itu enggan mengambilnya dan mengarahkan empat kru kapal warga Malaysia supaya mengikut mereka.
“Kejadian berlaku dalam tempoh antara 25 hingga 30 minit sebelum kumpulan terbabit beredar bersama empat kru kapal saya.
“Sebaik beredar, saya bergegas meneruskan perjalanan ke Tawau, selain memaklumkan perkara itu melalui radio,” katanya.
Dia berkata, sepanjang perjalanan ke Tawau, dia berasa bimbang nasib menimpa anak kapalnya dan berharap pihak berkuasa segera memintas bot kumpulan bersenjata itu.
“Ini pengalaman tidak dapat saya lupakan apabila bersemuka dengan penjenayah bersenjata sejak memulakan kerja di laut pada 1998.
“Tambahan pula, saya sudah lama mengenali semua anak kapal dan mereka memang pekerja yang baik,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi anak kapal, Petrus Karel Kaya, 42, mengakui masih terkejut dengan insiden itu terutama apabila diacukan senjata selain melihat empat rakannya diculik.
“Ketika kejadian, saya berada di bahagian enjin dan hanya terdengar kumpulan bersenjata menyebut ‘kapten’ sebaik menaiki kapal.
“Kami diarahkan berkumpul di belakang sebelum kumpulan ini menarik empat kru warga Malaysia,” katanya.
Petrus berkata, dia berharap empat rakannya selamat.
Rakan Petrus, Ismail Birahim, 22, berkata, kejadian itu menyebabkan dia trauma turun ke laut.
“Saya masih trauma dan berharap semua rakan diculik sihat serta selamat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 8:36 AM


HERWANDI (tengah) bersama Ismail (kiri) dan Petrus.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/128525#sthash.Ezr6fGfI.dpuf

No comments:

Post a Comment