Setiap soalan dijawab secara teratur, sehinggalah salah seorang daripada wartawan bertanyakan mengenai keadaan jenazah Nurul Syahira yang ditatapnya kira-kira pukul 8 pagi ini.
Bapa kepada dua anak itu tiba-tiba terdiam. Bibirnya dikemam sambil mata tertutup rapat sementara air matanya dilihat mengalir.
“Tak boleh ungkap dengan kata-kata. Sedih sangat, memang sedih sangat. Tak sangka langsung jadi begitu,” katanya dalam nada tersekat-sekat.
Kesedihannya itu tidak sukar untuk difahami kerana keadaan arwah difahamkan berada dalam keadaan yang cukup tragik.
Menurut majikannya yang sentiasa berada di sisi Ishak, Datuk Shamsubahrin Ismail, Ishak memaklumkan keadaan anaknya berbeza sama sekali seperti yang pernah dilihat sebelum ini.
“Saya diberitahu jenazahnya kelihatan kurus, rambut dipotong pendek, ada kesan luka di telinga seolah-olah terkena benda tajam selain lebam-lebam di muka dan beberapa bahagian badan,” katanya.
Terdahulu Ishak memberitahu, anaknya itu menghilangkan diri secara tiba-tiba dari rumahnya di Ampang, Selangor pada pertengahan Februari lalu.
“Kali terakhir saya bertemunya pada 16 Februari lalu. Sebagai bapa sudah tentu saya risau dan mengambil pelbagai inisiatif untuk mengesan kedudukannya.
“Akhirnya kira-kira dua minggu lalu, anak sulung daripada dua beradik itu mengaku menerusi panggilan telefon yang dia berada di Kedah. Itu pun setelah didesak, namun kami tidak tahu lokasi tepat di mana dia berada,” katanya.
Menurutnya, beliau diberitahu mengenai kejadian yang menimpa anak gadisnya itu setelah menerima panggilan daripada anggota polis kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Saya kenal suspek kerana dia pernah bekerja sebagai pemandu teksi dengan syarikat yang sama di mana saya bekerja kini kira-kira empat tahun lalu.
“Bagaimanapun atas sebab tertentu, dia dibuang kerja. Saya tidak pasti bagaimana anak saya kembali berhubung dengannya sehingga boleh terjadi begini,” katanya.
Tambahnya, jenazah Nurul Syahira akan dikebumikan di kampungnya iaitu di Kampung Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan malam ini juga.