Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, Pembantu Kesihatan Awam, Sufaat Sahid cuba menyelesaikan masalah tersebut selepas menerima aduan orang awam tentang tandas itu yang tersumbat tetapi tidak menyangka menemukan janin berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zakaria Abdul Rahman berkata, janin yang ditemukan tersebut berada dalam keadaan sempurna, mempunyai tangan dan kaki dianggarkan berusia kira-kira enam bulan.
“Seorang doktor yang bertugas di Pusat Kesihatan Ayer Baloi, Dr. Norfaiz Abd. Jalil mengesahkan objek yang ditemui dalam lubang tersebut adalah janin sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Ayer Baloi.
“Hasil siasatan yang dijalankan, janin tersebut ditemui dalam lubang tandas keluasan kira-kira 196cmx95cm. Tiada sebarang kesan darah ditemukan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zakaria berkata, pusat kesihatan tersebut tidak mempunyai pengawal keselamatan dan keadaan itu membolehkan orang awam bebas keluar masuk ke dalamnya termasuk kemungkinan melakukan perbuatan membuang janin tersebut.
Katanya, janin itu dihantar ke Hospital Pontian untuk pemeriksaan selanjutnya dan kes disiasat dibawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan.