Firman Bansir
Firman beserta ibu, Painah Tambanan, 58, bapa, Bansir Aban, 60 serta adiknya, Fauziah Bansir, 24 terkandas bersama lebih 55 jemaah di lapangan terbang itu malam tadi.
Firman, 27, berkata, dia bersama seorang lagi penyanyi, Nubhan Ahmad sepatutnya berlepas ke Mekah pada pukul 8.45 malam tetapi setelah lebih empat jam menunggu, mereka masih tidak dapat berlepas.
Katanya, agensi yang menguruskan pakej umrah tersebut juga seolah-olah berdolak-dalik dengan memberi alasan kononnya ditahan polis kerana membawa terlalu banyak passport.
“Kami mula rasa ragu dengan alasan yang diberikan oleh wakil syarikat dan membuat keputusan untuk menahan individu tersebut sehingga agensi yang menguruskan pakej tersebut tampil membuat penjelasan.
“Mereka memberi alasan kononnya penerbangan ditangguh kepada pukul 2 pagi tetapi kami tidak percaya dan terus melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Firman berkata, dia terlalu kecewa dan sedih dengan sikap segelintir pihak yang sanggup menjual agama demi keuntungan.
“Duit umrah ini merupakan hasil usaha saya selama ini, tetapi saya reda dan berserah kepada Allah. Biar pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.