Search This Blog

Tuesday, April 5, 2016

Inspektor polis dituduh rasuah

Ipoh: Inspektor polis didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini kerana meminta dan menerima rasuah membabitkan wang tunai sebanyak RM1,200.
Tertuduh, Amrin Paiman, 54, yang berkhidmat sebagai Inspektor Pendakwaan Trafik Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 dan 14 November 2013.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana meminta wang tunai berjumlah RM500 daripada Amir Hakim Amel Rosmadi@Adek pada 1.30 petang 13 November 2013 di tempat letak kereta apartmen di Tambun, di sini sebagai dorongan untuk tidak mendakwa Amir Hakim mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
Bagi tuduhan kedua mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, dia dituduh menerima wang tunai sebanyak RM700 daripada individu sama pada 10.15 malam 14 November 2013 di restoran di Jalan Besar Tambun, di sini.
Amrin yang diwakili peguam Muhaimin Aris, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Muhaimin kemudian meminta jumlah jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan tertuduh sudah digantung kereja serta perlu menanggung isteri dan lima anak.
Hakim Indra Nehru Savandiah menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan 8 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 11:38 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/128032#sthash.G4U0wUb0.dpuf

No comments:

Post a Comment