Search This Blog

Loading...

Monday, April 25, 2016

Hampir 72,000 kes Zika dilaporkan di Colombia



DUA pekerja kesihatan menyembur racun serangga untuk membunuh nyamuk Aedes yang membawa virus Zika di Rio de Janeiro, Brazil pada 26 Januari lalu. - Agesi


BOGOTA – Hampir 72,000 kes Zika dilaporkan di Colombia sejak Oktober tahun lalu, sementara virus itu menjangkiti hampir 13,000 wanita mengandung sebelum wabak Zika di negara itu beransur reda, kata pihak berkuasa kesihatan kelmarin.
Institut Kesihatan Nasional (INS) melaporkan, empat kes mikrosefali dikaitkan dengan penularan virus Zika di Colombia. Sindrom itu menyebabkan bayi dilahirkan dengan kepala lebih kecil dan mengalami kecacatan otak.
“Sebanyak 22 lagi kes potensi mikrosefali di Colombia masih dalam siasatan,” demikian menurut INS.
Pada awal bulan ini, pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesahkan bahawa virus Zika menyebabkan mikrosefali dan kecacatan otak lain yang serius pada janin.
Sejak wabak Zika bermula pada Oktober 2015, sejumlah 3,292 jangkitan virus itu disahkan oleh beberapa makmal, manakala 68,660 kes dipercayai Zika turut direkodkan.
Dalam kalangan wanita hamil pula, sejumlah 1,703 jangkitan Zika telah disahkan, sementara 11,099 kes lain dica­tatkan oleh sebilangan pegawai kesihatan tempatan.
Walaupun Colombia pada asalnya menganggarkan bilangan kes Zika akan meningkat tiga kali ganda menje­lang hujung Jun ini, kerajaan menegaskan bahawa wabak itu kini berkura­ngan dengan cepat, lebih cepat daripada yang dijangkakan.
Virus Zika bawaan nyamuk Aedes Aegypti hadir di 130 buah negara, manakala beberapa kajian baharu menunjukkan virus itu boleh disebarkan melalui hubungan seks antara manusia.
Sejak wabak Zika menular di Colombia pada Oktober 2015, sejumlah 462 kes kecacatan saraf yang dikaitkan dengan virus itu telah direkodkan. Dari­pada jumlah itu, 304 kes merupakan penyakit Guillain-Barre. Sindrom yang jarang berlaku itu boleh menyebabkan penghidapnya mengalami lumpuh. Setakat ini, tiada vaksin yang boleh me­rawat jangkitan Zika. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz46mx595aF 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment