Search This Blog

Sunday, April 3, 2016

Guna lima nama


Mohd Jamilul Anbia Md Denin

am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang penjenayah licik dikesan menyamar menggunakan lima nama ‘pegawai’ polis berbeza bagi memperdaya puluhan mangsa membabitkan kerugian hampir RM400,000.


Malah suspek berusia 30-an itu turut dikesan menipu anggota polis bertujuan mendapatkan butiran maklumat suspek ditahan polis serta keluarga suspek yang mahu diperdaya.

Sumber polis berkata, suspek dikesan kerap memperkenalkan diri sebagai Tuan Faizal, Inspektor Faizal, Inspektor Azmi, Inspektor Saiful, Inspektor Rahim dan Inspektor Samsudin ketika melakukan penipuan.

Menurutnya, suspek menjalankan aktiviti jenayah dengan mendapatkan maklumat Orang Kena Tahan (OKT) di lokap balai polis dari laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau berita di media cetak.

“Suspek akan menghubungi balai polis dan bertanyakan maklumat suspek ditahan di dalam lokap selain meminta maklumat butiran waris keluarga individu ditahan.

“Suspek turut dikesan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dengan menyamar menggunakan pelbagai nama polis itu,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian membuat panggilan kepada waris keluarga OKT kononnya mahu berunding serta mendakwa mempunyai kemampuan untuk membebaskan individu ditahan itu.

“Bagaimanapun suspek meletakkan syarat supaya sejumlah wang dibayar ke akaun bank yang diberikan. Keluarga OKT hanya menyedari ditipu apabila OKT masih tidak dibebaskan dan nama pegawai polis itu tidak wujud,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek ditahan polis dan mengaku terbabit dalam 49 kes penipuan membabitkan kerugian sebanyak RM373,750.

Bagaimanapun polis percaya ramai lagi mangsa pernah diperdaya suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:11 AM

LAPORAN Harian Metro, 11 Mac lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/127517#sthash.WmjbVR2y.dpuf

No comments:

Post a Comment