Search This Blog

Tuesday, April 5, 2016

Empat gerai di pasar malam Brinchang musnah


NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
5 APRIL 2016

Empat gerai di pasar malam Brinchang musnah

 Empat gerai di pasar malam Brinchang musnah Kebakaran yang berlaku menimbulkan panik orang ramai namun kejadian tidak membabitkan kenderaan atau kemalangan jiwa. - Foto Bomba dan Penyelamat

KUANTAN - Tindakan pantas anggota bomba mengawal kebakaran membantu menyelamatkan 12 deretan gerai di tapak pasar malam, Brinchang, Cameron Highlands daripada musnah terbakar, petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kebakaran kira-kira jam 3.50 petang itu, empat gerai gagal diselamatkan manakala sebuah lagi musnah sebahagian.

Ketua Balai Bomba Cameron Highlands, Muhammad Haziq Hazmi berkata, dalam kejadian itu, pihaknya juga berjaya menyelamatkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss daripada rentung.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 3.55 petang sebelum lima anggota bersama jentera dikerah ke lokasi untuk bantuan pemadaman.

“Ketika pihak kami tiba, api sudah marak memusnahkan empat gerai terlibat bagaimanapun operasi pemadaman yang segera dilakukan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke deretan gerai lain.

“Dalam kejadian ini, empat gerai yang menjual cenderamata dan pakaian musnah terbakar bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 15 minit sebelum operasi ditamatkan kira-kira jam 5 petang.

“Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment