Dalam kejadian antara pukul 6.15 hingga 6.40 petang kira-kira 108.54 kilometer di tenggara Tawau, sekumpulan lapan suspek berbaju hitam, bertopeng, membawa senjata api dan bertutur dalam bahasa Tagalog hanya menyasarkan warga tempatan.
Ia memandangkan ketika kejadian terdapat sembilan anak kapal berada di atas kapal tunda Massive 6 yang terdiri daripada empat warga tempatan, Myanmar (tiga) dan Indonesia (dua).
Bagaimanapun, lima warga asing itu dibebaskan dan ditinggalkan di atas kapal tunda terbabit.
Empat warga tempatan yang diculik ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, yang kesemuanya berasal dari Sibu, Sarawak.
Difahamkan, kumpulan penjenayah itu turut melarikan satu unit komputer riba, kesemua telefon bimbit anak kapal, satu kunci kereta dan sejumlah wang yang terdapat di dalam peti kapal tunda berkenaan.
Laporan mengenai penculikan itu dibuat oleh pengurus pentadbiran syarikat perkapalan tersebut di Balai Polis Pusat Miri, malam tadi setelah pengurus berusia 35 tahun berkenaan mene­rima panggilan telefon daripada rakan setugas di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun mengesahkan insiden itu dan menjelaskan pihaknya mengumpul maklumat bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melakukan penculikan.
Ujar beliau, pihaknya memberi jaminan akan menyiasat semua aspek termasuk mendapatkan keterangan daripada anak kapal warga asing yang dibebaskan.
“Hasil siasatan awal, kapal tunda itu dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas selesai menghantar muatan kayu balak ke Manila, Filipina.
“Sebaik sahaja menghampiri Pulau Ligitan, Semporna, kapal tersebut telah dipintas oleh lapan orang suspek. Empat pekerja warga Malaysia kemudian dibawa lari menggunakan bot laju dipercayai menuju ke perairan Filipina manakala lima yang lain dibebaskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Rashid berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang tuntutan bayaran bagi membebaskan mangsa culik.
Sementara itu, sumber memberitahu, lapan suspek terbabit menggunakan sebuah bot laju berwarna kelabu dengan dua unit enjin berkuasa tinggi ketika menghampiri kapal tunda terbabit.
Katanya, empat suspek dikatakan menaiki kapal tunda itu dan mengacukan senjata api ke arah juragan serta anak kapal selain merampas barang berharga.
“Suspek turut bertanya kepada juragan kapal penunda sama ada mereka mempunyai bekalan ubat-ubatan sebelum melarikan empat warga tempatan itu,” katanya yang memberitahu empat lagi suspek menunggu di dalam bot.
Sementara itu, empat mangsa culik itu dipercayai belum sampai ke kem kumpulan Abu Sayyaf di Indanan, Kepulauan Jolo.
Sumber memberitahu, hal itu disandarkan apabila tiada sebarang panggilan dari mana-mana kumpulan penjenayah yang menuntut wang tebusan.
Bagaimanapun, katanya, pihak­nya tidak menolak kemungkinan kesemua mereka disembunyikan di lokasi lain.
Sementara itu, Pengurus Ever­line Bulk Limited, yang mahu dikenali sebagai Lisa ketika dihubungi Mingguan Malaysia tidak mendedahkan sama ada pihaknya telah menerima panggilan menuntut wang tebusan atau tidak kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.