Search This Blog

Sunday, April 10, 2016

Dua Lelaki Uighur Disyaki Pengganas Menuju Ke Malaysia


Diterbitkan: Sabtu, 9 April 2016 6:51 PM

Gambar fail dua lelaki Uighur yang disyaki melakukan serangan bom di kawasan kuil Erawan, Bangkok Ogos lalu tiba di mahkamah tentera pada Februari lepas.

BANGKOK: Dua rakyat Turki berketurunan Uighur, yang disyaki merancang untuk melakukan serangan ganas di Thailand, dilaporkan telah meninggalkan negara ini untuk ke Malaysia, kata seorang pegawai Thailand.

Gabenor Surat Thani, Wongsiri Promchana, yang memberi maklumat itu kepada Bernama pada Sabtu, berkata beliau dimaklumkan tentang dua lelaki berkenaan menuju ke Malaysia baru-baru ini oleh Pejabat Imigresen Phuket.

"Kami mengadakan pertukaran maklumat antara agensi berkaitan dan Pejabat Imigresen Phuket memaklumkan kepada saya bahawa mereka menjumpai nama dua lelaki Uighur itu dalam sistem imigresen, yang menunjukkan kedua-duanya meningalkan negara ini untuk ke Malaysia.

"Bagaimanapun, ini hanya maklumat awal daripada Pejabat Imigresen yang percaya nama itu (lelaki Uighur) sama dengan yang terdapat dalam memo (perisikan)," katanya dalam wawancara melalui telefon dari Surat Thani pada Sabtu.

Wongsiri bagaimanapun tidak menyatakan tarikh tepat dua lelaki itu meninggalkan Thailand untuk ke Malaysia, dan sama ada mereka menggunakan laluan darat atau udara.

Dalam wawancara melalui telefon dengan Bernama, gabenor itu berkata beliau mendapat maklumat perisikan sensitif itu daripada Pusat Penyelarasan Perisikan Kebangsaan Wilayah 4 tentang ancaman itu pada 5 April.

Menurutnya memo perisikan itu mengandungi amaran terperinci tentang kemungkinan berlaku serangan pengganas di destinasi pelancongan popular Koh Samui dan Phuket.

Dua tempat itu dijangka sesak dengan pelancong asing termasuk dari China dan Rusia selain rakyat tempatan bersempena Festival Songkran selama empat hari, yang bermula secara rasmi pada 12 April ini.

Disember lepas, agensi perisikan Rusia memberi amaran kepada rakan sejawatannya dari Thailand bahawa sehingga 10 anggota kumpulan militan Daeshwarga Syria telah memasuki Thailand untuk menyerang kepentingan Rusia.-Bernama

No comments:

Post a Comment