Dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu, Azarul Alamin Jamil, 12, dan adik perempuannya, Aleeya Erdina, 9, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurut jurucakap polis, ketika kejadian kenderaan tersebut dinaiki empat beranak dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari Merlimau ke Taman Merdeka.
“Kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu bapa mangsa yang berusia 35 tahun gagal dikawal sebelum terbabas memasuki longkang kiri lebuh raya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Berikutan kemalangan itu, Azarul Alamin yang duduk di sebelah pemandu dan Aleeya Erdina yang duduk di kerusi penumpang belakang maut akibat tersepit dan mayat mereka berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
Bapa mereka pula parah manakala seorang lagi saudara perempuan mereka berusia 11 tahun hanya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE